Tuesday 11 September 2007

CARA-CARA PEMILIHAN BAKA YANG BAIK

Oleh kerana tujuan kita memelihara kambing adalah untuk mendapatkan hasil yang lumayan maka perlulah kita memelihara kambing dari baka-baka yang baik. Kita perlu memilih kambing yang mempunyai sifat-sifat yang dikehendaki. Adalah dimaklumkan bahawa kambing tidak akan mempunyai kesemua sifat-sifat ini tetapi apabila memilih hendaklah dipastikan yang kambing itu mempunyai seberapa banyak yang boleh sifat-sifat yang dikehendaki.


Pemilihan baka boleh dibuat berasaskan beberapa ukuran seperti:

i. Baka dan keturuanan
ii. Bentuk badan atau konformasi:
a. Teknik pengamatan
b. Teknik perabaan

Cara Pemilihan Baka dan Keturunan

Pemilihan cara baka dan keturunan ini memerlukan catatan rekod mengenai prestasi induk kambing tersebut. Pemilihan cara begini adalah sukar kerana kebiasaan catatan tidak dibuat dengan sepenuhnya.

Di antara butiran yang perlu di dalam pemilihan cara begitu adalah:

i. Berat semasa dilahirkan adalah tinggi
ii. Kenaikan berat badan yang cepat
iii. Berat badan semasa 1 tahun
iv. Keluaran susu yang banyak
v. Jarak kelahiran yang rapat.

Cara Pemilihan Konformasi Badan

Cara-cara Pengamatan

Warna
Jantan-Warna berbeza mengikut jenis baka
Betina-Sama

Kulit dan bulu
Jantan-Lembut, pendek dan berkilat,tiada kulit berlebihan atau berlipat di bawah dagu dan tengkuk
Betina-Lembut, pendek, licin dan berkilat tidak kusut

Saiz
Jantan-Besar dan berat badan lebih dari 25 kg (had minima berbeza mengikut baka)
Betina-Sedang atau besar tidak kurang 20 kg (had minima berbeza mengikut baka)

Kepala
Jantan-Sederhana, bertanduk atau tidak bertanduk; mata bersinar; dagu sama rata
Betina-Panjang dan sederhana, bersih, tiada ketul-ketul daging yang berlebihan

Leher dan bahu
Jantan-Tidak panjang; berdaging pejal
Betina-Leher jinjang; bahu kecil dan sempit

Dada
Jantan-Bidang dan gempal menunjukkan kekuatan
Betina-Sederhana

Rangka
Jantan-Bulat dan sama besar; tulang rangka sama jarak menunjukkan paru-paru yang baik
Betina-Rangka dada lebar dan sama jarak supaya badan nampak bulat. Perut jangan menonjol ke bahagian dada


Badan
Jantan-Gempal, panjang besar dan lurus
Betina-Badan tegap menurun ke hadapan dari perut ke bahu depan

Bahagian belakang
Jantan-Lurus, tegap, lebar dan berdaging penuh
Betina-Lurus, tegap dan lebar terutama di bahagian "rump" dan punggung. "Rump" menurun sedikit tidak terlalu mencuram

Kaki hadapan
Jantan-Lurus, tegap dan teguh; keduanya selari
Betina-Lurus, kuat, tulangnya baik dan teguh. Keduanya selari

Kaki belakang
Jantan-Tegap dan kukuh. Keduanya selari apabila berdiri tegak. Bila berjalan tidak mengarah keluar (meraut). Pastern tidak jatuh dan jari mengadap ke hadapan. Peha lebar dan besar
Betina-Lurus, tegap dan mengadap ke hadapan selari jika dilihat dari belakang; "Hock" pendek sedikit; "Pastern" pendek dan tidak terjatuh

Tapak kaki
Jantan-Rata di bawah, memboleh kambing berdiri tegap dan melangkah dengan baik. Kuku pendek dan menghala ke hadapan
Betina-Rata di bawa memboleh kambing berdiri tegap dan melangkah dengan baik. Kuku pendek dan sama rata

Buah zakar dan zakar
Jantan-Zakarnya baik dan boleh dikeluarkan dan masuk dengan baik; dua buah zakar yang sama besar tergantung dengan baik dan tidak terlalu labuh
Betina-Rata di bawah memboleh kambing berdiri tegap dan melangkah dengan baik. Kuku pendek dan sama rata

Tetek dan puting susu
Betina-Teteknya besar dan tergantung dengan baik dan tidak meleret. Kulitnya lembut dan licin. Pembuluh susu nyata tetapi tidak terketul-ketul. Dua puting yang sederhana dan menghala ke hadapan dan terletak dengan baik

Tabiat
Jantan-Cergas, garang serta gagah
Betina-Cergas

Cara Perabaan

Cara perabaan adalah perlu apabila kambing yang bakal dipilih itu adalah dari jenis yang mempunyai bulu yang panjang. Ini adalah untuk menentukan kepadatan isi yang mungkin diselubungi oleh bulu atau memastikan tiada sebarang kecacatan.

RINGKASAN

Sebelum membeli atau memilih kambing untuk baka, penilaian mestilah dibuat terlebih dahulu. Penilaian ini perlu dibuat terhadap kambing bagi mendapatkan ciri-ciri yang baik. Ianya boleh dinilai melalui konformasi atau keturunan. Kambing yang telah dinilaikan digunakan untuk pembakaan bagi melahirkan anak-anak yang cepat membesar, mengeluarkan susu yang banyak dan mempunyai ketahanan terhadap cuaca dan penyakit.

RAJAH MORFOLOGI SEEKOR KAMBING BETINA



1. Puting susu
2. Tetek atau kelenjar susu
3. Perut
4. Siku (claw)
5. Kuku (hoof)
6. Lutut
7. Dada
8. Bahu
9. Kekacang (tassel)
10. Dagu
11. Butang/asas tanduk
12. Kelasa
13. Lilitan di jantung
14. Belakang
15. Pinggul
16. Punggung
17. Tulang punggung
18. Siku

Labels:

Monday 10 September 2007

MAKANAN KAMBING

Makanan adalah perkara yang paling penting dalam pemeliharaan. Makanan diperlukan untuk pembesaran, pembiakan, kesihatan dan juga akan menentukan untung ruginya sesuatu perusahaan ternakan. Makanan hijauan mempunyai kandungan air yang tinggi, ia merupakan sumber tenaga, vitamin dan mineral. Konsentrat mempunyai kandungan bahan kering yang tinggi, ia kaya dengan protein, lemak, mineral dan menjadi sumber tenaga.Makanan yang seimbang mengandungi zat-zat berikut:protein, karbohidrat (kanji), lemak, vitamin, zat galian.



Selalunya kambing di beri makan palet/dedak. terdapat beberapa jenis dalam pasaran. tetapi yang paling baik adalah berasaskan kacang soya. Makanan popular dikalangan penternak adalah rumput napier. Namun daun kelapa sawit juga sesuai TETAPI jangan dipotong halus kerana lidi pelepah boleh merosakkan perut ternakan. Cukup sekadar pelepah di potong Perlu diingatkan. Rumput dan dedaun pokok hanya sebagai serat. Untuk khasiat dan penggemukkan, palet/dedak sangat penting.















Pallet Biopalma Goat/Sheep keluaran Felda


Pallet Biopalma Felda ( Goat/Sheep) adalah pallet makan ternakan hasil kajian dan keluaran Felda. Ianya menggunakan PKE sebagai bahan asas dan dicampurkan dengan Gandum, Jagung , Soya, Garam Mineral dan Vitamin dengan kadar yang optimum untuk memenuhi keperluan haiwan ternakan anda.Penghasilan pallet makanan Biopalma adalah berasaskan tumbuhan dan bebas dari sebarang penggunaan lelemak haiwan, bahan kimia dan antibiotik terlarang. Kedua-dua nya mengunakan PKE (Palm Kernel Expeller @ Dedak Isirong Sawit) sebagai bahan asas dan dirumus secara saintifik dengan Polad Gandum, Jagung , Mil Kacang Soya, Garam Mineral dan Vitamin dengan kadar yang optimum untuk memenuhi keperluan haiwan ternakan anda. Pallet Biopalma juga diperkayakan dengan protein, tenaga, asid amino dan agen probiotik. Pallet Biopalma sedia diberi terus kepada ternakan ruminan anda tanpa perlu dicampur dengan bahan bahan lain.



Penggunaan makanan tambahan akan juga meningkatkan prestasi pembiakan kambing. Dalam satu kajian di Serdang,kambing betina yang diberi makanan tambahan berasaskan hampas kopra, hampas isirong kelapa sawit atau kulit kopi mendapat 55% adak kembar manakala yang tidak diberikan makanan tambahan hanya mendapat 33% . Berat badan anak kambing yang dilahirkan lebih tinggi untuk yang diberikan makanan tambahan.

Rujukan
http://www.jphpk.gov.my/Agronomi/Pemakanan_kambing.htm

Labels: , , ,